Beberapa Pesanan Berkenaan Fiqh Jual-Beli.

Posted by ariffudin On Tuesday, February 15, 2011 0 comments




Pertama: Tidak Tamak Mengambil Keuntungan Yang Besar.

Pada dasarnya Islam tidak meletakkan had bagi kadar keuntungan yang ingin diambil oleh seorang penjual. Dalam Shahih al-Bukhari terdapat riwayat berikut daripada ‘Urwah bin Zubair radhiallahu 'anh:



أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَعْطَاهُ دِينَارًا

يتَرِي لَهُ بِهِ شَاةً

فَاشْتَرَى لَهُ بِهِ شَاتَيْنِ

فَبَاعَ إِحْدَاهُمَا بِدِينَارٍ

وَجَاءَهُ بِدِينَارٍ وَشَاةٍ

فَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ فِي بَيْعِهِ

وَكَانَ لَوْ اشْتَرَى التُّرَابَ لَرَبِحَ فِيهِ.



Bahawa Nabi S.A.W memberikan kepada dia satu dinar untuk membeli seekor kambing untuk baginda.

Maka (‘Urwah) berjaya membeli dua ekor kambing dengan satu dinar itu. Kemudian (dalam perjalanan balik) dia menjual salah satu daripada kambing itu dengan harga satu dinar.

Lalu dia datang (kepada Nabi) dengan satu dinar dan seekor kambing.


(Melihat kejayaan ‘Urwah Nabi) mendoakan baginya keberkatan dalam urusniaga jual-belinya dan (berkata): “Seandainya dia membeli tanah nescaya dia akan dapat memperoleh keuntungan darinya.”[1]


Berdasarkan hadis ini, ‘Urwah telah mengambil keuntungan dua kali ganda. Sehubungan dengan itu para ahli fiqh menetapkan:


Tidak ada kadar keuntungan tertentu yang mengikat para peniaga dalam melakukan pelbagai urusniaga jual-beli mereka. Ia dibiarkan sesuai dengan keadaan dunia usaha secara umum, keadaan peniaga dan keadaan komoditi barang dagangan. Namun semua ini dengan tetap memerhatikan adab-adab yang disyari‘atkan dalam Islam seperti sikap santun, redha, toleran dan memudahkan.[2]


Walaubagaimanapun ini tidaklah bererti para penjual muslim boleh mengambil kadar keuntungan besar sesuka hati. Dia perlu menjaga harga jualannya agar tetap mampu berdaya saing dengan para penjual lain, khasnya para penjual bukan Islam. Kata pepatah Melayu menyatakan: “Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.”

Justeru ambillah keuntungan yang sedikit kerana harga jualan yang rendah akan menarik ramai pembeli sehingga akhirnya membuahkan jumlah keuntungan yang besar.





Kedua: Mengutamakan Jual-Beli Sesama Umat Islam.

Kita sesama umat Islam hendaklah saling membantu, saling membela dan saling mengunggulkan. Ini merangkumi semua urusan termasuklah urusan harta. Justeru dalam urusniaga jual-beli, hendaklah mengutamakan jual-beli sesama umat Islam kerana ia dapat meningkatkan ekonomi dan merapatkan hubungan sesama muslim. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:



Sesungguhnya Wali (pembantu, pembela, penyokong) kamu

hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman

yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk

(tunduk menjunjung perintah Allah).

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu sebagai Walinya

(maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan Allah,

itulah yang tetap menang.

[al-Maidah 5:55-56]


Jika di kalangan umat Islam wujud suasana jual-beli yang menyelisihi ciri-ciri “…perniagaan yang dilakukan secara redha dengan redha di antara kamu…” [al-Nisa’ 4:29], maka nasihatkanlah di antara satu sama lain. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mengingatkan kita semua:


Demi Masa!

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih,

dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

[al-‘Ashr 103:1-3]



Jika segala usaha nasihat dan teguran diabaikan, maka boleh beralih melakukan jual-beli bersama orang bukan Islam. Majlis Fatwa Kerajaan Arab Saudi pernah ditanya:



Apakah hukumnya meninggalkan kerjasama di antara umat Islam yakni dengan tidak redha dan tidak suka membeli barang perniagaan daripada umat Islam tetapi suka membeli barang perniagaan orang bukan Islam? Apakah tindakan seperti itu halal atau haram?



Majlis Fatwa yang diketuai oleh Syaikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz rahimahullah dan dianggotai oleh tiga ilmuan yang lain menjawab:



Ketetapan hukum dasar dalam (persoalan jual-beli) membolehkan umat Islam membeli apa jua yang diperlukan dari apa yang dihalalkan oleh Allah, baik daripada umat Islam atau umat bukan Islam. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah membeli daripada orang Yahudi.



Akan tetapi jika keengganan seorang muslim untuk membeli daripada seorang muslim yang lain tanpa didasari faktor (yang munasabah) seperti kecurangan, harga yang mahal dan barang yang buruk, sehingga menyebabkan dia membeli daripada orang bukan Islam serta mengutamakan dia di atas seorang muslim tanpa wujudnya alasan yang benar, maka yang sedemikian jelas haram.



Ini kerana yang sedemikian termasuk satu bentuk kesetiaan kepada umat bukan Islam, meredha dan mencintai mereka. Selain itu, tindakan sedemikian dapat melemahkan perniagaan umat Islam, merosakkan barang perniagaan mereka (kerana tersimpan lama) dan tidak melariskannya.



Adapun jika wujud faktor-faktor yang menyebabkan seorang muslim berpaling daripada berniaga dengan seorang muslim yang lain sepertimana yang disebut di atas (kecurangan, harga yang mahal dan barang yang buruk), maka hendaklah dia menasihati saudaranya (peniaga muslim) itu demi memperbaiki kekurangan tersebut.



Jika peniaga muslim itu sudi menerima nasihat (dan melakukan perubahan), maka alhamdulillah. Akan tetapi jika tidak, maka seorang muslim boleh berpaling kepada peniaga yang lain, sekalipun kepada peniaga bukan Islam di mana terdapat manfaat dan kejujuran dalam berurusniaga dengannya.[3]





Ketiga: Menggunakan Kuasa Pembeli Untuk Menentukan Harga Penjual.

Kebelakangan ini harga barangan asasi yang diperlukan dalam kehidupan harian semakin naik. Berpijak dari fenomena ini, ramai yang bertanya: “Mengapa pihak pemerintah tidak mengambil tindakan untuk menurun atau mengawal harga barangan tersebut?” Sebenarnya fenomena ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Imam al-Tirmizi rahimahullah meriwayatkan:



عَنْ أَنَسٍ قَالَ:

غَلاَ السِّعْرُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ سَعِّرْ لَنَا.

فَقَالَ: إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّزَّاقُ

وَإِنِّي لأَرْجُو أَنْ أَلْقَى رَبِّي

وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَطْلُبُنِي بِمَظْلِمَةٍ

فِي دَمٍ وَلاَ مَالٍ.



Daripada Anas (bin Malik radhiallahu 'anh), dia berkata:

Pada masa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, harga barangan asasi naik.

Maka para sahabat berkata:

“Wahai Rasulullah! Tetapkanlah harga barang untuk kami.”



Rasulullah menjawab:

“Sesungguhnya Allah, Dia-lah yang menetapkan harga, menyempitkan, melapangkan dan merezekikan. Sesungguhnya aku berharap ketika aku berjumpa dengan tuhanku (Allah),

tidak ada seorangpun yang menuntut kepadaku kerana suatu kezaliman

yang menyangkut urusan darah (nyawa) mahupun harta (ekonomi).[4]





Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai pemerintah enggan menetapkan harga barangan asasi kerana ia dipengaruhi oleh banyak faktor. Berdasarkan hadis ini, pihak pemerintah tidak berkewajipan menentukan harga barangan asasi, sebaliknya yang menentukan ialah hubungan antara pembeli dan penjual. Inilah yang disebut sebagai kuasa pasaran atau market forces. Perekonomian market forces sering dianggap berasal dari negara Barat. Padahal berdasarkan hadis di atas, jelas bagi kita ia berasal daripada Islam sejak lebih 1400 tahun yang lalu.



Maksud perekonomian market forces ialah, jika terdapat permintaan yang banyak, penjual akan menaikkan harga. Jika permintaan berkurang, penjual akan menurunkan harga. Demikian juga sebaliknya, jika penjual menaikkan harga, pembeli tidak akan membelinya. Jika penjual menurunkan harga, pembeli akan membelinya. Hubungan timbal balik antara penjual dan pembeli memainkan peranan yang penting dalam menentukan harga barang.



Sebagai contoh, penjual ayam akan menaikkan harga pada musim perayaan kerana terdapat permintaan yang banyak. Pembeli yang arif tidak akan membeli ayam yang mahal, sebaliknya berpindah kepada alternatif yang lain. Tindakan pembeli yang mencari alternatif lain menyebabkan penjual menurunkan harga ayamnya. Jika tidak, ayam akan rosak dan penjual menghadapi kerugian.



Sekarang ini punca permasalahan ialah, pembeli tetap membeli ayam sekalipun dengan harga yang tinggi. Berdasarkan wujudnya permintaan, penjual akan tetap menaikkan harga ayam kerana dia tahu di luar sana tetap wujud pembelinya.



Di sini umat Islam perlu sedar bahawa mereka sebagai pembeli memiliki peranan menentukan harga pasaran. Pemikiran mandiri perlu dibina dengan cara membuang pemikiran ala subsidi yang sentiasa mengharapkan bantuan pemerintah. Pemerintah hanya dibolehkan campur tangan menentukan harga barang jika jelas berlaku penipuan dan penzaliman antara penjual dan pembeli. Para ahli fiqh menetapkan:



Pemerintah tidak boleh campur tangan menentukan harga barang kecuali jika melihat wujudnya ketidaklancaran di pasar dan perletakan harga kerana faktor-faktor yang sengaja dibuat-buat. Dalam keadaan sedemikian, pemerintah boleh campur tangan melalui pelbagai cara bagi mengatasi ketidaklancaran di pasar dan perletakan harga kerana faktor-faktor yang sengaja dibuat-buat itu.[5]





Keempat: Money Back Guarantee.

Lazimnya konsep “money back guarantee, no questions asked” hanya ditemui apabila kita membeli barangan daripada syarikat Barat yang besar dan berjenama. Sebenarnya konsep menjamin wang pembeli akan dikembalikan jika tidak redha dengan sesuatu pembelian berasal dari Islam dan patut diamalkan oleh para peniaga Islam. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada para penjual:



مَنْ أَقَالَ مُسْلِمًا

أَقَالَهُ اللَّهُ عَثْرَتَهُ.

Sesiapa yang menerima pembatalan urusniaga seorang muslim,

maka Allah menghilangkan dosa dan mengampuninya.[6]





al-‘Allamah Syams al-Haq rahimahullah menerangkan maksudnya:



Gambaran pembatalan urusniaga ialah apabila seseorang membeli sesuatu daripada seorang yang lain kemudian dia menyesali pembeliannya itu sama ada kerana urusniaga yang tidak telus atau kerana hilangnya hajat dia kepada benda itu atau kerana berlaku susut nilai (penjual menipu dengan menjual barangan yang sebenarnya sudah tidak bernilai), lalu dia menyerahkan pembeliannya itu kepada penjual dan penjual menerima kembali serahannya.[7]





Kelima: Keep The Change.

Apabila melakukan urusniaga jual-beli, lazimnya pembeli akan tawar menawar kepada penjual. Penjual yang mengurangkan harga akan dianggap “murah hati” manakala yang enggan dianggap “kedekut”. Padahal jika dilihat dari sudut yang lain, kenapa hanya penjual yang perlu mengurangkan harga? Kenapa tidak pembeli yang menaikkan harga, yakni menawarkan harga bayaran yang sedikit lebih tinggi?



Maksud saya, apabila kita membeli satu produk berharga RM9.50, jangan hanya tawar menawar agar penjual menurunkan harga kepada RM9.00. Sebaliknya kita yang menaikkan harga kepada RM10.00 dengan menyerahkan wang kertas RM10 sambil berkata “Tak mengapa, simpan yang selebihnya”. Cuba fikirkan, jika pengurangan lima puluh sen adalah penting bagi kita, maka penambahan lima puluh sen adalah penting kepada dia juga.


Sebenarnya penjual yang menurunkan harga dan pembeli yang menaikkan harga pada kadar yang saling meredhai termasuk dalam kategori orang yang dirahmati Allah sebagaimana hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang telah dikemukakan sebelum ini:



رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً سَمْحًا إِذَا بَاعَ وَإِذَا اشْتَرَى وَإِذَا اقْتَضَى.

Allah merahmati seseorang yang bersikap lapang dada apabila membeli, menjual dan mengutip hutang.[8]


Hanya lazimnya kelihatan pelaksanaan hadis ini hanya berat sebelah kepada penjual. Apa kata mulai sekarang kita mengimbanginya dengan menjadi yang pertama berkata “Keep the change” apabila melakukan sesuatu urusniaga jual-beli? Lakukanlah ia bukan kerana apa-apa tujuan lain kecuali ingin memperolehi rahmat Allah Subhanahu wa Ta'ala.





Keenam: Mencari Nur Allah Ketika Berjual Beli.

Dalam suasana kita berjual-beli, amat penting untuk kita tidak lalai daripada mengingati Allah. Dalam surah al-Nur, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan permisalan Nur-Nya dan memperincikan ciri-ciri orang yang bakal menerima Nur tersebut:



Allah yang menerangi langit dan bumi.

Bandingan Nur Allah adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu,

lampu itu dalam geluk kaca (qandil),

geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang,

lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya,



(Iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya

dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari),

hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar

walaupun ia tidak disentuh api.

Cahaya berlapis cahaya.



Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada Nur-Nya itu;

dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia

dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.



(Nur Allah itu bersinar dengan nyata terutama) di rumah-rumah ibadah (masjid)

yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya

dan disebut serta diperingat nama Allah padanya;

di situ juga dikerjakan ibadah mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.



(Ibadah itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya

yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah

dan (mereka) mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat;

mereka takutkan Hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka

dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan

dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya

dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya

dengan tidak terhitung.

[al-Nur 24:35-38]



Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan ciri-ciri orang yang bakal mendapat Nur-Nya. Nur tersebut diperolehi bukan oleh orang yang membacanya dan meniupnya[9] tetapi oleh orang yang dalam suasana berniaga dan berjual-beli, mereka tidak leka daripada menghadiri masjid untuk mendirikan solat berjamaah, berzikir dan setelah itu mengeluarkan zakat harta. Selain itu ketika melakukan perniagaan dan jual-beli, mereka tidak melanggar perintah larangan Allah berkenaan fiqh harta kerana hati mereka sentiasa “…takutkan Hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”



Rujukan


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3642 (Kitab al-Manaqib, Bab ke 28). Terjemahan hadis merujuk kepada penjelasan yang diberikan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari Syarh Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 7, ms. 344-345.

[2] Ketetapan Muktamar Ulama’ Fiqh yang bertemu di Kuwait pada 1-6 Jumadilawal, 1409H sebagaimana dalam Fikih Ekonomi Keuangan Islam, ms. 85 dengan beberapa suntingan bahasa.

[3] Fatawa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuts al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’: al-Buyu’ (disusun oleh Syaikh Ahmad bin ‘Abd al-Razzaq al-Duwaisy; edisi terjemahan oleh M. Abdul Ghoffar atas judul Fatwa-Fatwa Jual-Beli; Pustaka Imam al-Syafi’e, Bogor, 2004), ms. 14-15, fatwa no: 3323 dengan beberapa suntingan bahasa.

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1314 (Kitab al-Buyu’, Bab berkenaan penetapan harga).

[5] Ketetapan Muktamar Ulama’ Fiqh yang bertemu di Kuwait pada 1-6 Jumadilawal, 1409H sebagaimana dalam Fikih Ekonomi Keuangan Islam, ms. 85 dengan beberapa suntingan bahasa.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3460 (Kitab al-Ijarah, Bab keutamaan membatalkan urusniaga).

[7] ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud (Dar al-Fikr, Beirut, 1995), jld. 9, ms. 259.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2076 (Kitab al-Buyu’, Bab mudah dan lapang dada dalam pembelian, penjualan…).

[9] Saya menyatakan sedemikian kerana ayat 35 surah al-Nur adalah antara yang masyhur dijadikan petua oleh ustaz dan ustazah celebrity, kononnya boleh menjadikan muka putih berseri jika dibaca dan ditiup ke muka. Tidak kurang juga yang menyatakan, membaca dan meniup ke dada boleh memasukkan Nur Allah ke dalam hati dan meneranginya. Semoga Allah memelihara kita daripada golongan yang memperalatkan al-Qur’an untuk tujuan-tujuan seperti ini.

0 comments:

Post a Comment