“APA AWAK CAKAP??”
PANGG!!!!!!!!!!
Lempangan berbisa tahap meneran di puncak gunung…letakkan pipi kau di celah tingkap dan hempaskan ia. Apa yang kau rasa? Itulah ibaratnya.
Pipi ini masih terngiang-ngiang akan kebasnya lempangan itu (cehh..). Sesekali melihat cermin, pipi ini akan selalu kubelek-belek. Nama dia akan kusebut-sebut. Tanpa lempangan itu, takkan aku merasa sejuknya salji atau putihnya sakura itu. Mungkin juga merahnya puncak Fuji mampu dilihat di poskad saja.
Petang itu, aku ke kelas agama tak macam biasa. Kalau tak, belukar belakang sekolah jadi markas. Main gasing, kereta mini Tamiya, macam-macam yang kami buat. Mungkin di Luh Mahfuz sudah tertulis, aku akan lalui ini semua.
(Perhatian, kisah ini yang terpanjang pernah ku tulis..awasi waktu anda)
Jadi kebiasaan, selepas sekolah kebangsaan waktu pagi,kami takkan terus pulang ke rumah. Memandangkan rumah kami nun jauh di ceruk hulu sana, apatah lagi sekolah agama dan kebangsaan sepelaung jaraknya, maka kehidupan persekolahan 9jam sudah lama sebati dalam diri. Tamat sesi sekolah kebangsaan, kami akan bertukar pakaian dan terus berjalan ke sekolah agama.
Al-kisah petang itu, Ridhwan, kawan rapatku tak pakai kasut putih. (beliau pengawas di sekolah kebangsaan, jadi, kasut hitam jua yang dipakainya dek terlupa nak bawak yang putih).
“Ridhwan, mana pegi kasut putih kamu? Berapa kali saya nak cakap? Sekolah agama pun masih ada peraturannya. Saya tengok, bukannya awak orang susah pun.” entah mengapa angin Ustaz Fakih lain semacam.
“Saya terlupa ustaz. Tapi, semalam Hilmi pun terlupa jugak. Ustaz tak cakap apa-apa pun?” Ridhwan tetap membela diri. Biasalah, budak-budak..lubang guni dah ditutup, dilubangkan lagi yang lainnya.
Aku memang tidak bersangkut paut dalam hal ini. Bukan dilantik sebagai hakim, apatah lagi ditabal menjadi polis. Sebagai pemerhati, memang aku bebas untuk mengulaskan apa sahaja bersendirian.
“Alaa..dah memang ustaz pilih kasih..” getusan kerdil di pelosok hati.
Apakan daya, seakan takdir terciptalah ajaib, ayat itu terucap di lidah. Cetusan hati menjadi bisik, aku yakin cuma aku sendiri yang mendengarnya.
Malang sekali, telinga Ustaz Fakih secekap kelawar, dapat menangkap setiap butir sayup bicara itu.
“APA AWAK CAKAAAP??” suaranya menjerkah ruang kelas.
Melenting jadinya. Berlari-lari anak menuju aku. Diangkat lengannya searas siling.. mengambil posisi menghadap tenggara..
lalu… PAAANG!!!!!
Sedar-sedar, aku di bawah meja.. dengan kerusi yang terpelanting.
Berpinar-pinar, yang kelihatan cuma bulan, bintang dan planet berlegar-legar di atas kepala. Pipi ini terasa kebas ya amat. Sesekali pandangan jadi kabur.
Perasaan ini berkecamuk. Ku toleh kiri, hina. Ku toleh kanan, caci. Terasa satu dunia sedang mengeji. Aku tak dapat terima kenyataan ini. Malu ini tak ditutup lagi, lebih malu daripada bertelanjang di pasar tani.
Lempangan itu mengejutkan semua orang. Ustaz Fakih yang terkenal dengan “cool”nya, bertukar jadi raksasa biru bermata tujuh. Leterannya selepas itu terawang-awangan. Aku masih dalam dilema, adakah mimpi? atau Tidak Realiti? yang pasti bukan kedua-duanya..IA MEMANG TERJADI!!!
Sepanjang kelas aku tertunduk. Malu dengan ustaz. Malu dengan orang sekeliling, malu dengan diri sendiri. Jika sebelumnya, ke mana sahaja kawan-kawan di pinggang, kini semuanya hilang. Aku banyak menghabiskan waktu rehat di belakang bangunan tanpa teman. Kadang-kala, memang sengaja aku larikan diri dari mereka semua. Cerita aku ditampar Ustaz Fakih dengan dahsyatnya sudah tercanang di sana sini. Hatta di sekolah-sekolah lain sekalipun, nama aku dah dijaja tiada harga.
Entah mengapa, hati ini menjadi gusar. Aku memang bercita-cita untuk meminta maaf dari Ustaz Fakih. Namun apakan daya, lidah ini memang tajam, tapi untuk mengucapkan kata maaf, menjadi tumpul kaku sekeras batu. Setiap hari dibelenggu kerisauan, keresahan dan rasa bersalah yang tak mampu dibendung lagi.
Kehidupan aku yang berubah drastik, sedikit sebanyak membawa makna yang tersendiri. Agak memeranjatkan semua orang apabila keputusan peperiksaan aku setiap tahun meningkat mendadak. Ketika itu, lagenda seorang bernama “Balqis” yang setiap tahun memegang tangga teratas tak lagi jadi sebutan. Memang namaku yang jadi pengganti. Bukan aku saja, malah ustaz Fakih, kawan kelas, sehinggakan guru besar pun terkejut. Seorang yang dulunya kaki ponteng, sudah berubah segala-galanya.
Sampailah pada suatu hari, tatkala hari itu adalah hari terakhir dalam perkhidmatan Ustaz Fakih di sekolah, beliau memberi ucapan yang amat bermakna dalam perhimpunan. (Beliau dinaikkan pangkat menjadi pegawai agama di Jabatan Agama.)
Ucapan syahdu ini, benar-benar menyentuh hati. (Aku cuma tuliskan setakat apa yang mampu diingat)
“Ini mungkin menjadi ucapan saya yang terakhir sepanjang karier saya sebagai pendidik. Jika dahulu, hati saya pernah terguris, pasti esoknya dah saya lupakan. Tapi, gurisan yang ini benar-benar memberi kesan pada saya sampai bila-bila.
Saya juga seorang manusia. Tak lari dari membuat kesilapan. Saya akui saya agak emosional ketika itu, dan memang saya tak dapat untuk mengawal perasaan.
Namun, ingatlah anak-anak. Jika ada ustaz ustazah yang marah, bukan bermakna dia jahat. Tapi kerana Sayang. Jika dia puji, bukan bermakna dia mengangkat. Tapi untuk semangat.
Secara peribadi, saya nak memohon kemaafan pada seseorang. Tapi, biarlah ucapan ini diucapkan di depan anak-anak semua. Saya mahu dia, dan anak-anak semua tahu, bahawa saya sayangkan kamu semua.
Dan saya takkan pernah menyimpan dendam, apatah lagi kejam untuk tidak memaafkan orang lain. Perubahan dia benar-benar menyentuh hati saya. Saya amat berbangga dengannya.
Sekurang-kurangnya, pengunduran saya ini sedikit sebanyak meninggalkan sebuah permata.
Tak perlu lah saya nyatakan siapa orang itu. Semua orang pun sedia maklum. Untuk anak-anak semua, contohilah dia dan jadilah anak yang baik. Doakan ibu bapamu, doakan guru-gurumu.
bla bla bla bla…(aku pun tak berapa ingat ucapan lepas tu)
Saya mengucapkan selamat maju jaya, dan mendoakan anak-anak semua menjadi khalifah berjaya, baik di dunia mahupun di akhirat”
Sungguh tak diduga, airmata kami semua begitu murah, berderai jatuh mencurah-curah. Ucapan Ustaz Fakih benar-benar membuatkan kami semua sayu.
Selepas waktu sekolah, sempat juga aku berjumpa dan bersemuka dengan Ustaz Fakih. Bak anak yang rindukan seorang ayah, kami berpelukan erat. “Saya minta maaf, ustaz..” Sesungguhnya perpisahan itu amat memeritkan.
S. A . Y . A . N . G
Tidak tahu ke mana lagi perkataan ini harus kuucap. Sesungguhnya aku menyayangi Ustaz Fakih. Alangkah bahagianya jika Ustaz Fakih membaca ini semua.
0 comments:
Post a Comment