Perkara Ajaib Tersembunyi di Dalam Minda

Posted by ariffudin On Monday, April 4, 2011 0 comments


1) Tenaga ajaib tersembunyi dalam minda

Percaya atau tidak apabila anda sentiasa memikirkan tentang kenyang, anda tidak akan lapar. Buktinya apabila anda menjalani ibadah puasa, anda tidak berfikir pun tentang makan sepanjang hari, tetapi anda tetap mampu melakukan aktiviti-aktiviti kehidupan sebagaimana biasa. Padahal pada hari-hari biasa, awal pagi lagi anda sudah terasa hendak makan.

Demikianlah apabila anda tidak lansung memikirkan tentang penat, anda akan cergas dan bertenaga sepanjang hari.

Sebaliknya apabila anda mula berkata ”Aku malaslah hari ini”, “Aku boringla hari ni”, anda akan benar-benar malas dan boring. Maka jika anda ingin cemerlang dan berjaya, bijak-bijaklah berhubung dengan imaginasi. Imaginasi boleh menjadikan anda apa sahaja. Daripada sini kita boleh simpulkan, ”Kita sendirilah yang meminta setiap apa yang berlaku pada diri kita.”

2) Berkomunikasi dengan minda ke minda

Apabila anda mengingat seseorang, dan jika ingatan anda itu jujur, ikhlas dan bertanggungjawab, dan tiada sebarang gangguan, anda sebenarnya telah pun menghantar gelombang minda kepada orang itu. Anda mungkin mendapat tindak balas yang menakjubkan.

Jika ingatan anda terhadapnya adalah yang baik-baik, dalam masa yang sama Insya Allah dia akan mengingat yang baik-baik juga tentang anda. Maka kerana itulah sesekali pada saat-saat tertentu anda terkenangkan seseorang yang telah lama anda tidak temui secara tiba-tiba. Barangkali pada saat itu orang berkenaan sedang memikirkan tentang anda dan gelombang mindanya telah mengembara dan akhirnya sampai kepada anda.

Gelombang yang lemah akan tersasar atau tidak sampai ke matlamat ataupun ghaib begitu sahaja ditelan gelombang-gelombang yang lebih kuat yang sentiasa bersimpang siur. Gelombang minda akan lebih hebat kesannya terhadap mereka yang mempunya jalinan emosi ataupun pertalian darah yang rapat misalnya suami isteri, ibu dan anak, adik beradik kembar dan rakan seiras.

3) Daya magnet dalam fikiran beremosi

Tahukah anda apabila anda membenci seseorang, anda sebenarnya telah pun menarik kebencian orang itu terhadap anda. Fikiran yang beremosi ada daya tarikan bagaikan magnet yang akan menarik sebarang pemikiran yang sealiran.

Sebagaimana gelombang minda tadi, kebencian akan terhasil dalam bentuk gelombang-gelombang negatif yang mengembara dan akhirnya sampai kepada orang yang anda benci itu. Oleh itu, seseorang yang menjadikan imaginasinya sebagai salah satu laluan untuk kejayaan tidak boleh berfikiran negatif. Dia kena berfikiran positif supaya pemikiran yang sama akan

dipulangkan kepadanya.

4) Mengawal minda untuk lebih berjaya

Tiada siapapun yang boleh membuatkan anda marah jka anda sendiri tidak ingin marah. Soal emosi yang tersentuh adalah perasaan yang boleh dikawal jika anda mahu mengawalnya. Jika anda memang tidak mahu marah anda tidak akan marah.
Orang boleh menjadi terlalu sedih kerana dia memberi laluan kepada dirinya untuk berasa sedih. Kesedihan yang melampau-lampau pula bermula daripada emosi yang ditarik-tarik, diiya-iyakan, diransang-ransang dan disungguh-sungguhkan, ibarat api yang dicurahkan petrol ke atasnya. Api akan menyambar hebat padahal jika dibiarkan sahaja, lambat laun ia akan padam sendiri. Kejayaan pertama orang yang berjaya ialah dapat mengawal emosinya.

5) Dua pemikiran dalam masa yang sama

Anda mungkin pernah melihat seseorang yang beremosi pada satu masa tetapi pada masa yang sama bercakap seolah-olah tidak menghadapi sebarang masalah dan ingat, orang ini bukanlah seorang pelakon. Seorang ayah memarahi anaknya dengan kemarahan yang beriya-iya tetapi dalam masa yang sama dia menghadiahkan anda senyuman dan mula bercakap lembut dengan anda. Itu tanda permulaan bagi seorang yang dapat mengawal emosinya. Seorang yang ingin menggapai kejayaan melalui imaginasi perlu lebih pandai mengawal emosi.

6) Minda teransang melalui solat dan doa

Solat itu doa dan doa itu perlu dalam proses kehidupan seseorang manusia. Manusia perlu berdoa untuk menjalinkan hubungan yag erat antara dirinya dengan alam ghaib dan yang terpenting dengan PENCIPTA-nya. Realitinya orang yang sentiasa berdoa dan sentiasa menunaikan solat tepat pada waktunya atau lebih baik pada awal waktu akan dapat membentuk dan meningkatkan kekuatan minda melalui fikiran yang lebih terfokus.

Seorang yang berjaya adalah seorang yang tenang dan ketenangan mutlak ataupun kemuncak bagi ketenangan adalah solat. Hakikat ketenangan tidak ada dalam diri seseorang yang ingkar solat atau tidak pernah berdoa.

Sukeeeeeerrrnyaaa.....

Posted by ariffudin On Thursday, March 31, 2011 1 comments


Bagaimanakah ingin menjadi orang yang disukai ramai?


Adakah dengan menjadi popular dapat membuatkan orang menyukai kita?


Adakah dengan berkata-kata sahaja sudah mampu membuat orang terpesona dengan kita?


Ataupun adakah dengan sentiasa menolong orang sehingga membiarkan diri kita ‘dipijak’ mampu memikat hati orang lain?


Di sini saya lampirkan sebahagian tip-tip untuk membuat orang menyukai diri kita. Diharapkan ia dapat memberi manfaat kepada semua.



- Sentiasa senyum kerana senyum itu sedekah.



- Tunjukkan yang kita benar- benar berminat dan mengambil berat terhadap orang lain.



- Ingat nama kerana orang akan berasa berbesar hati jika namanya diingati.



- Apabila bercakap dengan seseorang, cuba cari topik yang digemarinya.



- Jadi pendengar yang baik dengan menggalakkan orang untuk bercakap dengan anda.



- Cuba buat orang lain rasa dirinya penting dan bermakna. Lakukan dengan penuh ikhlas.



- Elakkan daripada bertengkar dan bertekak dengan orang lain.



- Hormati pendapat orang lain dan jangan sekali- kali mengkritik pendapat orang lain dan mengatakannya salah dan tidak boleh diterima akal.



- Jika kita bersalah, mengaku dan minta maaf. Jangan dikuasai ego sendiri.



Cuba sedaya- upaya untuk ‘meletakkan’ diri kita dalam diri orang lain. Percayalah, cara ini akan membolehkan kita akan lebih memahami seseorang. Namun, ia perlu dilakukan dengan penuh kejujuran.

Apa itu Guru??...

Posted by ariffudin On Monday, March 28, 2011 0 comments


“APA AWAK CAKAP??”

PANGG!!!!!!!!!!

Lempangan berbisa tahap meneran di puncak gunung…letakkan pipi kau di celah tingkap dan hempaskan ia. Apa yang kau rasa? Itulah ibaratnya.

Pipi ini masih terngiang-ngiang akan kebasnya lempangan itu (cehh..). Sesekali melihat cermin, pipi ini akan selalu kubelek-belek. Nama dia akan kusebut-sebut. Tanpa lempangan itu, takkan aku merasa sejuknya salji atau putihnya sakura itu. Mungkin juga merahnya puncak Fuji mampu dilihat di poskad saja.

Petang itu, aku ke kelas agama tak macam biasa. Kalau tak, belukar belakang sekolah jadi markas. Main gasing, kereta mini Tamiya, macam-macam yang kami buat. Mungkin di Luh Mahfuz sudah tertulis, aku akan lalui ini semua.

(Perhatian, kisah ini yang terpanjang pernah ku tulis..awasi waktu anda)

Jadi kebiasaan, selepas sekolah kebangsaan waktu pagi,kami takkan terus pulang ke rumah. Memandangkan rumah kami nun jauh di ceruk hulu sana, apatah lagi sekolah agama dan kebangsaan sepelaung jaraknya, maka kehidupan persekolahan 9jam sudah lama sebati dalam diri. Tamat sesi sekolah kebangsaan, kami akan bertukar pakaian dan terus berjalan ke sekolah agama.
Al-kisah petang itu, Ridhwan, kawan rapatku tak pakai kasut putih. (beliau pengawas di sekolah kebangsaan, jadi, kasut hitam jua yang dipakainya dek terlupa nak bawak yang putih).

“Ridhwan, mana pegi kasut putih kamu? Berapa kali saya nak cakap? Sekolah agama pun masih ada peraturannya. Saya tengok, bukannya awak orang susah pun.” entah mengapa angin Ustaz Fakih lain semacam.

“Saya terlupa ustaz. Tapi, semalam Hilmi pun terlupa jugak. Ustaz tak cakap apa-apa pun?” Ridhwan tetap membela diri. Biasalah, budak-budak..lubang guni dah ditutup, dilubangkan lagi yang lainnya.

Aku memang tidak bersangkut paut dalam hal ini. Bukan dilantik sebagai hakim, apatah lagi ditabal menjadi polis. Sebagai pemerhati, memang aku bebas untuk mengulaskan apa sahaja bersendirian.

“Alaa..dah memang ustaz pilih kasih..” getusan kerdil di pelosok hati.

Apakan daya, seakan takdir terciptalah ajaib, ayat itu terucap di lidah. Cetusan hati menjadi bisik, aku yakin cuma aku sendiri yang mendengarnya.

Malang sekali, telinga Ustaz Fakih secekap kelawar, dapat menangkap setiap butir sayup bicara itu.

“APA AWAK CAKAAAP??” suaranya menjerkah ruang kelas.

Melenting jadinya. Berlari-lari anak menuju aku. Diangkat lengannya searas siling.. mengambil posisi menghadap tenggara..

lalu… PAAANG!!!!!

Sedar-sedar, aku di bawah meja.. dengan kerusi yang terpelanting.
Berpinar-pinar, yang kelihatan cuma bulan, bintang dan planet berlegar-legar di atas kepala. Pipi ini terasa kebas ya amat. Sesekali pandangan jadi kabur.

Perasaan ini berkecamuk. Ku toleh kiri, hina. Ku toleh kanan, caci. Terasa satu dunia sedang mengeji. Aku tak dapat terima kenyataan ini. Malu ini tak ditutup lagi, lebih malu daripada bertelanjang di pasar tani.

Lempangan itu mengejutkan semua orang. Ustaz Fakih yang terkenal dengan “cool”nya, bertukar jadi raksasa biru bermata tujuh. Leterannya selepas itu terawang-awangan. Aku masih dalam dilema, adakah mimpi? atau Tidak Realiti? yang pasti bukan kedua-duanya..IA MEMANG TERJADI!!!

Sepanjang kelas aku tertunduk. Malu dengan ustaz. Malu dengan orang sekeliling, malu dengan diri sendiri. Jika sebelumnya, ke mana sahaja kawan-kawan di pinggang, kini semuanya hilang. Aku banyak menghabiskan waktu rehat di belakang bangunan tanpa teman. Kadang-kala, memang sengaja aku larikan diri dari mereka semua. Cerita aku ditampar Ustaz Fakih dengan dahsyatnya sudah tercanang di sana sini. Hatta di sekolah-sekolah lain sekalipun, nama aku dah dijaja tiada harga.

Entah mengapa, hati ini menjadi gusar. Aku memang bercita-cita untuk meminta maaf dari Ustaz Fakih. Namun apakan daya, lidah ini memang tajam, tapi untuk mengucapkan kata maaf, menjadi tumpul kaku sekeras batu. Setiap hari dibelenggu kerisauan, keresahan dan rasa bersalah yang tak mampu dibendung lagi.

Kehidupan aku yang berubah drastik, sedikit sebanyak membawa makna yang tersendiri. Agak memeranjatkan semua orang apabila keputusan peperiksaan aku setiap tahun meningkat mendadak. Ketika itu, lagenda seorang bernama “Balqis” yang setiap tahun memegang tangga teratas tak lagi jadi sebutan. Memang namaku yang jadi pengganti. Bukan aku saja, malah ustaz Fakih, kawan kelas, sehinggakan guru besar pun terkejut. Seorang yang dulunya kaki ponteng, sudah berubah segala-galanya.

Sampailah pada suatu hari, tatkala hari itu adalah hari terakhir dalam perkhidmatan Ustaz Fakih di sekolah, beliau memberi ucapan yang amat bermakna dalam perhimpunan. (Beliau dinaikkan pangkat menjadi pegawai agama di Jabatan Agama.)

Ucapan syahdu ini, benar-benar menyentuh hati. (Aku cuma tuliskan setakat apa yang mampu diingat)

“Ini mungkin menjadi ucapan saya yang terakhir sepanjang karier saya sebagai pendidik. Jika dahulu, hati saya pernah terguris, pasti esoknya dah saya lupakan. Tapi, gurisan yang ini benar-benar memberi kesan pada saya sampai bila-bila.


Saya juga seorang manusia. Tak lari dari membuat kesilapan. Saya akui saya agak emosional ketika itu, dan memang saya tak dapat untuk mengawal perasaan.

Namun, ingatlah anak-anak. Jika ada ustaz ustazah yang marah, bukan bermakna dia jahat. Tapi kerana Sayang. Jika dia puji, bukan bermakna dia mengangkat. Tapi untuk semangat.

Secara peribadi, saya nak memohon kemaafan pada seseorang. Tapi, biarlah ucapan ini diucapkan di depan anak-anak semua. Saya mahu dia, dan anak-anak semua tahu, bahawa saya sayangkan kamu semua.

Dan saya takkan pernah menyimpan dendam, apatah lagi kejam untuk tidak memaafkan orang lain. Perubahan dia benar-benar menyentuh hati saya. Saya amat berbangga dengannya.

Sekurang-kurangnya, pengunduran saya ini sedikit sebanyak meninggalkan sebuah permata.

Tak perlu lah saya nyatakan siapa orang itu. Semua orang pun sedia maklum. Untuk anak-anak semua, contohilah dia dan jadilah anak yang baik. Doakan ibu bapamu, doakan guru-gurumu.

bla bla bla bla…(aku pun tak berapa ingat ucapan lepas tu)

Saya mengucapkan selamat maju jaya, dan mendoakan anak-anak semua menjadi khalifah berjaya, baik di dunia mahupun di akhirat”

Sungguh tak diduga, airmata kami semua begitu murah, berderai jatuh mencurah-curah. Ucapan Ustaz Fakih benar-benar membuatkan kami semua sayu.

Selepas waktu sekolah, sempat juga aku berjumpa dan bersemuka dengan Ustaz Fakih. Bak anak yang rindukan seorang ayah, kami berpelukan erat. “Saya minta maaf, ustaz..” Sesungguhnya perpisahan itu amat memeritkan.

S. A . Y . A . N . G

Tidak tahu ke mana lagi perkataan ini harus kuucap. Sesungguhnya aku menyayangi Ustaz Fakih. Alangkah bahagianya jika Ustaz Fakih membaca ini semua.



Meniru Bagi Mencapai Kejayaan...!

Posted by ariffudin On Monday, February 28, 2011 2 comments


Apa pendapat anda sekiranya saya katakan anda perlu meniru bagi mencapai kejayaan?Saya percaya ramai antara anda berasa keliru dan pelik.


"Mana boleh meniru! Nanti kene tangkap dan dibuang dari dewan peperiksaan!"


Mungkin itu jawapan daripada kebanyakkan anda. Rata² diberitahu meniru adalah perbuatan yang tidak elok di sekolah. Saya bersetuju dengan anda. Meniru di dewan peperiksaan adalah tidak elok dan boleh menyebabkan anda gagal dalam bidang akademik.


Namun begitu, apa yang saya paparkan ini adalah mengenai meniru bagi mencapai kejayaan. Sebagai permulaan, saya ingin bertanya, bagaimana anda mula² belajar bercakap semasa anda masih kecil? Anda meniru percakapan orang² disekeliling anda, bukan?


Bagaimana anda belajar menunggang basikal? Anda meniru gaya abang², kakak² ataupun orang yang pandai menunggang basikal di sekeliling anda, bukan? Jadi..Apa salahnya meniru?


Secara keseluruhannya, semua ahli psikologi bersetuju yang manusia belajar dengan cara meniru. Mereke melihat apa sahaja yang dilakukan oleh orang di sekeliling mereka sebagai panduan bagi mereka melakukan sesuatu. Anda boleh meniru apa sahaja didunia ini tidak kira perkara baik mahupun buruk. Sekiranya anda meniru capa perompak, anda akan jadi perompak.


Jadi, ruangan ini, saya mahu tunjukkan kepada anda bagaimana cara meniru orang² yang berjaya dalam pelajaran.....


TEKNIK MENIRU BAGI MENCAPAI KEJAYAAN


LANGKAH 1: Cari sesorang yang hendak ditiru


Dalam meniru bagi mencapai kejayaan, anda mesti ada orang yg hendak ditiru. Orang ini mestilah seseorang ciri-ciri baik dan cemerlang yang ingin anda peroleh. Contohnya, sekiranya matlamat anda ialah mendapat 8A dalam peperiksaan PMR, anda perlu meniru pelajar yang mendapat 8A juga. Ingat, anda bukan nak meniru kerja² mereka, tetapi cara mereka belajar dan cara mereka mencapai kejayaan dalam bidang Akademik.


LANGKAH 2 : Tiru mereka 100%


Anda perlu meniru bulat-bulat apa yang mereka lakukan bagi mendapat 8A. Sekiranya mereka rajin bertanya semasa didalam kelas,anda perlu bertanya juga. Sekiranya mereka selalu bersenam, anda perlu bersenam juga. Asalkan perkara yang mereka lakukan tidak bercanggah dengan ajaran agama, tatasusila yang menyumbang ke arah kecermelangan itu.


LANGKAH 3 : Tiru cara mereka berfikir


Anda bukan sahaja perlu meniru apa yang dilakukan pelajar cemerlang secara fizikal, tetapi juga meniru cara pemikiran mereka. Mungkin anda pernah terfikir, mengapa anda tidak mendapat markah yang baik walaupun anda membaca dan belajar bersama orang yang cemerlang. Anda baca buku yang sama, pada jangka masa yang sama, tetapi mengapa keputusan berbeza?


Jawapanya terletak pada cara pemikiran mereka. Besar kemungkinan anda tidak terfikir seperti mereka. Pelajar cemerlang ini selalunya mempunyai minda yang lebih terbukadan mampu menerima apa sahaja yang dipelajari dengan mudah. Jadi, anda perlu bertanya kepada pelajar cemerlang ini, apakah rahsia kejayaan mereka. Berikut adalalah contoh soalan yang anda perlu tanyakan pada mereka:


1. Apa yang membuatkan anda bersemangat untuk belajar?


2. Bagaimana caa anda menaikkan semangat supaya rajin belajar?


3. Sekiranya anda berasa malas belajar, apa yang anda lakukan?


4. Apa kemahiran yang anda ada bagi mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan?


5. Apa yang anda buat supaya mudah menghafal apa yang dipelajari?


6. Bagaimana cara untuk anda mengatasi masalah tekanan perasaan setiap kali mengulangkaji ataupun semasa musim peperiksaan?


7. Bagaimana cara anda menenangkan fikiran?


8. Bagaimana anda menjaga kesihatan?

9. Pada pendapat anda, apakah faktor yang paling penting dalam mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik?


10. Setiap kali peperiksaan, adakah anda berasa yakin berjaya ataupun berasa takut dan gementar?






"Apa sahaja yang mahu dicapai hari ini kebanyakkanya sudah dicapai oleh mereka sebelum kita. Meniru adalah satu langkah mempercepatkan kajayaan KITA"

Beberapa Pesanan Berkenaan Fiqh Jual-Beli.

Posted by ariffudin On Tuesday, February 15, 2011 0 comments




Pertama: Tidak Tamak Mengambil Keuntungan Yang Besar.

Pada dasarnya Islam tidak meletakkan had bagi kadar keuntungan yang ingin diambil oleh seorang penjual. Dalam Shahih al-Bukhari terdapat riwayat berikut daripada ‘Urwah bin Zubair radhiallahu 'anh:



أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَعْطَاهُ دِينَارًا

يتَرِي لَهُ بِهِ شَاةً

فَاشْتَرَى لَهُ بِهِ شَاتَيْنِ

فَبَاعَ إِحْدَاهُمَا بِدِينَارٍ

وَجَاءَهُ بِدِينَارٍ وَشَاةٍ

فَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ فِي بَيْعِهِ

وَكَانَ لَوْ اشْتَرَى التُّرَابَ لَرَبِحَ فِيهِ.



Bahawa Nabi S.A.W memberikan kepada dia satu dinar untuk membeli seekor kambing untuk baginda.

Maka (‘Urwah) berjaya membeli dua ekor kambing dengan satu dinar itu. Kemudian (dalam perjalanan balik) dia menjual salah satu daripada kambing itu dengan harga satu dinar.

Lalu dia datang (kepada Nabi) dengan satu dinar dan seekor kambing.


(Melihat kejayaan ‘Urwah Nabi) mendoakan baginya keberkatan dalam urusniaga jual-belinya dan (berkata): “Seandainya dia membeli tanah nescaya dia akan dapat memperoleh keuntungan darinya.”[1]


Berdasarkan hadis ini, ‘Urwah telah mengambil keuntungan dua kali ganda. Sehubungan dengan itu para ahli fiqh menetapkan:


Tidak ada kadar keuntungan tertentu yang mengikat para peniaga dalam melakukan pelbagai urusniaga jual-beli mereka. Ia dibiarkan sesuai dengan keadaan dunia usaha secara umum, keadaan peniaga dan keadaan komoditi barang dagangan. Namun semua ini dengan tetap memerhatikan adab-adab yang disyari‘atkan dalam Islam seperti sikap santun, redha, toleran dan memudahkan.[2]


Walaubagaimanapun ini tidaklah bererti para penjual muslim boleh mengambil kadar keuntungan besar sesuka hati. Dia perlu menjaga harga jualannya agar tetap mampu berdaya saing dengan para penjual lain, khasnya para penjual bukan Islam. Kata pepatah Melayu menyatakan: “Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.”

Justeru ambillah keuntungan yang sedikit kerana harga jualan yang rendah akan menarik ramai pembeli sehingga akhirnya membuahkan jumlah keuntungan yang besar.





Kedua: Mengutamakan Jual-Beli Sesama Umat Islam.

Kita sesama umat Islam hendaklah saling membantu, saling membela dan saling mengunggulkan. Ini merangkumi semua urusan termasuklah urusan harta. Justeru dalam urusniaga jual-beli, hendaklah mengutamakan jual-beli sesama umat Islam kerana ia dapat meningkatkan ekonomi dan merapatkan hubungan sesama muslim. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:



Sesungguhnya Wali (pembantu, pembela, penyokong) kamu

hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman

yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk

(tunduk menjunjung perintah Allah).

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu sebagai Walinya

(maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan Allah,

itulah yang tetap menang.

[al-Maidah 5:55-56]


Jika di kalangan umat Islam wujud suasana jual-beli yang menyelisihi ciri-ciri “…perniagaan yang dilakukan secara redha dengan redha di antara kamu…” [al-Nisa’ 4:29], maka nasihatkanlah di antara satu sama lain. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mengingatkan kita semua:


Demi Masa!

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih,

dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

[al-‘Ashr 103:1-3]



Jika segala usaha nasihat dan teguran diabaikan, maka boleh beralih melakukan jual-beli bersama orang bukan Islam. Majlis Fatwa Kerajaan Arab Saudi pernah ditanya:



Apakah hukumnya meninggalkan kerjasama di antara umat Islam yakni dengan tidak redha dan tidak suka membeli barang perniagaan daripada umat Islam tetapi suka membeli barang perniagaan orang bukan Islam? Apakah tindakan seperti itu halal atau haram?



Majlis Fatwa yang diketuai oleh Syaikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz rahimahullah dan dianggotai oleh tiga ilmuan yang lain menjawab:



Ketetapan hukum dasar dalam (persoalan jual-beli) membolehkan umat Islam membeli apa jua yang diperlukan dari apa yang dihalalkan oleh Allah, baik daripada umat Islam atau umat bukan Islam. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah membeli daripada orang Yahudi.



Akan tetapi jika keengganan seorang muslim untuk membeli daripada seorang muslim yang lain tanpa didasari faktor (yang munasabah) seperti kecurangan, harga yang mahal dan barang yang buruk, sehingga menyebabkan dia membeli daripada orang bukan Islam serta mengutamakan dia di atas seorang muslim tanpa wujudnya alasan yang benar, maka yang sedemikian jelas haram.



Ini kerana yang sedemikian termasuk satu bentuk kesetiaan kepada umat bukan Islam, meredha dan mencintai mereka. Selain itu, tindakan sedemikian dapat melemahkan perniagaan umat Islam, merosakkan barang perniagaan mereka (kerana tersimpan lama) dan tidak melariskannya.



Adapun jika wujud faktor-faktor yang menyebabkan seorang muslim berpaling daripada berniaga dengan seorang muslim yang lain sepertimana yang disebut di atas (kecurangan, harga yang mahal dan barang yang buruk), maka hendaklah dia menasihati saudaranya (peniaga muslim) itu demi memperbaiki kekurangan tersebut.



Jika peniaga muslim itu sudi menerima nasihat (dan melakukan perubahan), maka alhamdulillah. Akan tetapi jika tidak, maka seorang muslim boleh berpaling kepada peniaga yang lain, sekalipun kepada peniaga bukan Islam di mana terdapat manfaat dan kejujuran dalam berurusniaga dengannya.[3]





Ketiga: Menggunakan Kuasa Pembeli Untuk Menentukan Harga Penjual.

Kebelakangan ini harga barangan asasi yang diperlukan dalam kehidupan harian semakin naik. Berpijak dari fenomena ini, ramai yang bertanya: “Mengapa pihak pemerintah tidak mengambil tindakan untuk menurun atau mengawal harga barangan tersebut?” Sebenarnya fenomena ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Imam al-Tirmizi rahimahullah meriwayatkan:



عَنْ أَنَسٍ قَالَ:

غَلاَ السِّعْرُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ سَعِّرْ لَنَا.

فَقَالَ: إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّزَّاقُ

وَإِنِّي لأَرْجُو أَنْ أَلْقَى رَبِّي

وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَطْلُبُنِي بِمَظْلِمَةٍ

فِي دَمٍ وَلاَ مَالٍ.



Daripada Anas (bin Malik radhiallahu 'anh), dia berkata:

Pada masa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, harga barangan asasi naik.

Maka para sahabat berkata:

“Wahai Rasulullah! Tetapkanlah harga barang untuk kami.”



Rasulullah menjawab:

“Sesungguhnya Allah, Dia-lah yang menetapkan harga, menyempitkan, melapangkan dan merezekikan. Sesungguhnya aku berharap ketika aku berjumpa dengan tuhanku (Allah),

tidak ada seorangpun yang menuntut kepadaku kerana suatu kezaliman

yang menyangkut urusan darah (nyawa) mahupun harta (ekonomi).[4]





Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai pemerintah enggan menetapkan harga barangan asasi kerana ia dipengaruhi oleh banyak faktor. Berdasarkan hadis ini, pihak pemerintah tidak berkewajipan menentukan harga barangan asasi, sebaliknya yang menentukan ialah hubungan antara pembeli dan penjual. Inilah yang disebut sebagai kuasa pasaran atau market forces. Perekonomian market forces sering dianggap berasal dari negara Barat. Padahal berdasarkan hadis di atas, jelas bagi kita ia berasal daripada Islam sejak lebih 1400 tahun yang lalu.



Maksud perekonomian market forces ialah, jika terdapat permintaan yang banyak, penjual akan menaikkan harga. Jika permintaan berkurang, penjual akan menurunkan harga. Demikian juga sebaliknya, jika penjual menaikkan harga, pembeli tidak akan membelinya. Jika penjual menurunkan harga, pembeli akan membelinya. Hubungan timbal balik antara penjual dan pembeli memainkan peranan yang penting dalam menentukan harga barang.



Sebagai contoh, penjual ayam akan menaikkan harga pada musim perayaan kerana terdapat permintaan yang banyak. Pembeli yang arif tidak akan membeli ayam yang mahal, sebaliknya berpindah kepada alternatif yang lain. Tindakan pembeli yang mencari alternatif lain menyebabkan penjual menurunkan harga ayamnya. Jika tidak, ayam akan rosak dan penjual menghadapi kerugian.



Sekarang ini punca permasalahan ialah, pembeli tetap membeli ayam sekalipun dengan harga yang tinggi. Berdasarkan wujudnya permintaan, penjual akan tetap menaikkan harga ayam kerana dia tahu di luar sana tetap wujud pembelinya.



Di sini umat Islam perlu sedar bahawa mereka sebagai pembeli memiliki peranan menentukan harga pasaran. Pemikiran mandiri perlu dibina dengan cara membuang pemikiran ala subsidi yang sentiasa mengharapkan bantuan pemerintah. Pemerintah hanya dibolehkan campur tangan menentukan harga barang jika jelas berlaku penipuan dan penzaliman antara penjual dan pembeli. Para ahli fiqh menetapkan:



Pemerintah tidak boleh campur tangan menentukan harga barang kecuali jika melihat wujudnya ketidaklancaran di pasar dan perletakan harga kerana faktor-faktor yang sengaja dibuat-buat. Dalam keadaan sedemikian, pemerintah boleh campur tangan melalui pelbagai cara bagi mengatasi ketidaklancaran di pasar dan perletakan harga kerana faktor-faktor yang sengaja dibuat-buat itu.[5]





Keempat: Money Back Guarantee.

Lazimnya konsep “money back guarantee, no questions asked” hanya ditemui apabila kita membeli barangan daripada syarikat Barat yang besar dan berjenama. Sebenarnya konsep menjamin wang pembeli akan dikembalikan jika tidak redha dengan sesuatu pembelian berasal dari Islam dan patut diamalkan oleh para peniaga Islam. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada para penjual:



مَنْ أَقَالَ مُسْلِمًا

أَقَالَهُ اللَّهُ عَثْرَتَهُ.

Sesiapa yang menerima pembatalan urusniaga seorang muslim,

maka Allah menghilangkan dosa dan mengampuninya.[6]





al-‘Allamah Syams al-Haq rahimahullah menerangkan maksudnya:



Gambaran pembatalan urusniaga ialah apabila seseorang membeli sesuatu daripada seorang yang lain kemudian dia menyesali pembeliannya itu sama ada kerana urusniaga yang tidak telus atau kerana hilangnya hajat dia kepada benda itu atau kerana berlaku susut nilai (penjual menipu dengan menjual barangan yang sebenarnya sudah tidak bernilai), lalu dia menyerahkan pembeliannya itu kepada penjual dan penjual menerima kembali serahannya.[7]





Kelima: Keep The Change.

Apabila melakukan urusniaga jual-beli, lazimnya pembeli akan tawar menawar kepada penjual. Penjual yang mengurangkan harga akan dianggap “murah hati” manakala yang enggan dianggap “kedekut”. Padahal jika dilihat dari sudut yang lain, kenapa hanya penjual yang perlu mengurangkan harga? Kenapa tidak pembeli yang menaikkan harga, yakni menawarkan harga bayaran yang sedikit lebih tinggi?



Maksud saya, apabila kita membeli satu produk berharga RM9.50, jangan hanya tawar menawar agar penjual menurunkan harga kepada RM9.00. Sebaliknya kita yang menaikkan harga kepada RM10.00 dengan menyerahkan wang kertas RM10 sambil berkata “Tak mengapa, simpan yang selebihnya”. Cuba fikirkan, jika pengurangan lima puluh sen adalah penting bagi kita, maka penambahan lima puluh sen adalah penting kepada dia juga.


Sebenarnya penjual yang menurunkan harga dan pembeli yang menaikkan harga pada kadar yang saling meredhai termasuk dalam kategori orang yang dirahmati Allah sebagaimana hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang telah dikemukakan sebelum ini:



رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً سَمْحًا إِذَا بَاعَ وَإِذَا اشْتَرَى وَإِذَا اقْتَضَى.

Allah merahmati seseorang yang bersikap lapang dada apabila membeli, menjual dan mengutip hutang.[8]


Hanya lazimnya kelihatan pelaksanaan hadis ini hanya berat sebelah kepada penjual. Apa kata mulai sekarang kita mengimbanginya dengan menjadi yang pertama berkata “Keep the change” apabila melakukan sesuatu urusniaga jual-beli? Lakukanlah ia bukan kerana apa-apa tujuan lain kecuali ingin memperolehi rahmat Allah Subhanahu wa Ta'ala.





Keenam: Mencari Nur Allah Ketika Berjual Beli.

Dalam suasana kita berjual-beli, amat penting untuk kita tidak lalai daripada mengingati Allah. Dalam surah al-Nur, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan permisalan Nur-Nya dan memperincikan ciri-ciri orang yang bakal menerima Nur tersebut:



Allah yang menerangi langit dan bumi.

Bandingan Nur Allah adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu,

lampu itu dalam geluk kaca (qandil),

geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang,

lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya,



(Iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya

dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari),

hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar

walaupun ia tidak disentuh api.

Cahaya berlapis cahaya.



Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada Nur-Nya itu;

dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia

dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.



(Nur Allah itu bersinar dengan nyata terutama) di rumah-rumah ibadah (masjid)

yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya

dan disebut serta diperingat nama Allah padanya;

di situ juga dikerjakan ibadah mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.



(Ibadah itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya

yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah

dan (mereka) mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat;

mereka takutkan Hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka

dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan

dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya

dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya

dengan tidak terhitung.

[al-Nur 24:35-38]



Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan ciri-ciri orang yang bakal mendapat Nur-Nya. Nur tersebut diperolehi bukan oleh orang yang membacanya dan meniupnya[9] tetapi oleh orang yang dalam suasana berniaga dan berjual-beli, mereka tidak leka daripada menghadiri masjid untuk mendirikan solat berjamaah, berzikir dan setelah itu mengeluarkan zakat harta. Selain itu ketika melakukan perniagaan dan jual-beli, mereka tidak melanggar perintah larangan Allah berkenaan fiqh harta kerana hati mereka sentiasa “…takutkan Hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”



Rujukan


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3642 (Kitab al-Manaqib, Bab ke 28). Terjemahan hadis merujuk kepada penjelasan yang diberikan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari Syarh Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 7, ms. 344-345.

[2] Ketetapan Muktamar Ulama’ Fiqh yang bertemu di Kuwait pada 1-6 Jumadilawal, 1409H sebagaimana dalam Fikih Ekonomi Keuangan Islam, ms. 85 dengan beberapa suntingan bahasa.

[3] Fatawa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuts al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’: al-Buyu’ (disusun oleh Syaikh Ahmad bin ‘Abd al-Razzaq al-Duwaisy; edisi terjemahan oleh M. Abdul Ghoffar atas judul Fatwa-Fatwa Jual-Beli; Pustaka Imam al-Syafi’e, Bogor, 2004), ms. 14-15, fatwa no: 3323 dengan beberapa suntingan bahasa.

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1314 (Kitab al-Buyu’, Bab berkenaan penetapan harga).

[5] Ketetapan Muktamar Ulama’ Fiqh yang bertemu di Kuwait pada 1-6 Jumadilawal, 1409H sebagaimana dalam Fikih Ekonomi Keuangan Islam, ms. 85 dengan beberapa suntingan bahasa.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3460 (Kitab al-Ijarah, Bab keutamaan membatalkan urusniaga).

[7] ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud (Dar al-Fikr, Beirut, 1995), jld. 9, ms. 259.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2076 (Kitab al-Buyu’, Bab mudah dan lapang dada dalam pembelian, penjualan…).

[9] Saya menyatakan sedemikian kerana ayat 35 surah al-Nur adalah antara yang masyhur dijadikan petua oleh ustaz dan ustazah celebrity, kononnya boleh menjadikan muka putih berseri jika dibaca dan ditiup ke muka. Tidak kurang juga yang menyatakan, membaca dan meniup ke dada boleh memasukkan Nur Allah ke dalam hati dan meneranginya. Semoga Allah memelihara kita daripada golongan yang memperalatkan al-Qur’an untuk tujuan-tujuan seperti ini.

Biodata Seorang Yang Bernama Muhammad Bin Abdullah

Posted by ariffudin On Sunday, February 13, 2011 1 comments


Pepatah Melayu ada mengatakan "Tak Kenal, Maka Tak Cinta". Demikianlah sikap kita terhadap Rasulullah SAW. Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasaan cinta terhadap baginda.

Malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW,seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya.Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati kelahiran paderi ' St. Valentino ' daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW. Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT? Justeru itu kita harus berasa bertanggungjawab untuk memaparkan biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.


BIODATA RASULULLAH SAW
Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.

Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).
Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN
· Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN
· Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
· Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
· Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
· Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN
(Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
· Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan..
· Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
· Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ',jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja..
· Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN
· Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
· Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.
· Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
· Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
· Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
· Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.
· Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN
· Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
· UNBerhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
· Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
· Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
§ Khadijah Binti Khuwailid.
§ Saudah Binti Zam'ah.
§ Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
§ Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
§ Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
§ Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
§ Zainab Binti Jahsy.
§ Maimunah Binti Harith.
§ Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
§ Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
1. Qasim
2. Abdullah
3.. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra '

ANAK TIRI RASULULLAH SAW
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW

IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN
1. Thuwaibah 1. Hamzah
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad


SAUDARA SUSUAN
1. Halimah Al-Saidiyyah 1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2. Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
3. Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
4. ' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza


BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)
1. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair
4. Hamzah ***
5. Al-Abbas ***
6. Abu Talib
7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
8. Abdul Ka ' bah
9. Hijl
10. Dhirar
11. Umaimah
12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
13. Atiqah ##
14. Arwa ##
15. Umaimah
16. Barrah
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***

*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.

Kalau tuhan tu Maha Baik..kenapa bagi orang masuk neraka??

Posted by ariffudin On Thursday, November 18, 2010 1 comments


Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la...setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peratura n ni bukan semata-mata peraturan
majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..."

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar
nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab:"Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti
masuk syurga... Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: "perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz.

"Ah...mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya:"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak.

Assalamu'alaikum. "