Kalau tuhan tu Maha Baik..kenapa bagi orang masuk neraka??

Posted by ariffudin On Thursday, November 18, 2010 1 comments


Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la...setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peratura n ni bukan semata-mata peraturan
majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..."

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar
nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab:"Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti
masuk syurga... Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: "perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz.

"Ah...mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya:"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak.

Assalamu'alaikum. "

30 Hari Mencari Cinta..! dapat kerrr??

Posted by ariffudin On Monday, November 15, 2010 0 comments

Hari 1 :

Ucapkan TERIMA KASIH mulai hari ini dan hari-hari berikutnya.

Hari 2:

Lihat hanya yang terbaik dan mengakui kekurangan yang ada

Hari 3:

Mula melaksanakan kerja-kerja yang baik dan mulia

Hari 4:

Mengakui kesilapan dan maafkan diri anda

Hari 5:

Bersabarlah apabila merasa marah dan menerima kritikan

Hari 6:

Tunjukkan kemesraan pada yang tersayang

Hari 7:

Jadilah seorang yang pemurah

Hari 8:

Lihat yang terbaik ada pada orang lain dan jangan prejudis

Hari 9:

Belajar menerima apa saja/ bersyukur seadanya

Hari 10:

Kongsikan ilmu-ilmu yang ada dengan orang l

ain

Hari 11:

Raikan hari penting bersama –sama

Hari 12:

Jangan mudah bersangka buruk dan mulakanlah persahabatan

Hari 13:

Ubah diri anda

Hari 14:

Hormati perasaan orang l

ain

Hari 15:

Sentiasa menjaga kerahsiaan

Hari 16:

Hargai segala jasa baik dan pengorbanan orang lain

Hari 17:

Berilah pujian tanpa teragak-agak

Hari 18:

Lupakan kisah lama dan fokus pada masa depan

Hari 19:

Jadilah seorang yang asertif

Hari 20:

Atasi perasaan sedih / menyesal

Hari 21:

Elakkan perasaan untuk berebut kuasa

Hari 22:

Buang perasaan dendam yang ada

Hari 23:

Hentikan kritikan yang tidak membina

Hari 24:

Terima dan hormati orang lain seadanya

Hari 25:

Berikan galakan dan dorongan

Hari 26:

Gunakan kata-kata yang positif

Hari 27:

Bergembiralah dengan lawak jenaka

Hari 28:

Berikan hadiah /cenderamata

Hari 29:

Sebarkan berita gembira dengan orang sekeliling

Hari 30:

Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada

Sape nak kawennn??

Posted by ariffudin On Tuesday, November 9, 2010 0 comments


Alhamdulillah...setelah sekian lama menyepi (sehingga terlupa password)..haha...akhirnya dibukakan jalan untuk aku menulis kembali di dalam blog ini...Jadi..ape khabar semuanya?...semoga sehat harapnya...

Untuk entri kali ni aku nak berkongsi kisah sirah zaman lampau...mengenai..Mahar..

Apa itu mahar?? Mahar berasal daripada perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah mahar disebut dengan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-‘aqd.

Menurut istilah syara’ mahar ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh
suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari seorang perempuan telah datang kepada Rasulullah dengan harapan agar baginda mengahwininya...

Kata perempuan itu " Ya Rasulullah, aku telah sediakan diriku kepada mu."

Rasulullah berdiam diri sahaja. Sementara perempuan itu menuggu dengan sabar dan penuh harapan semoga baginda menerima tawarannya, namun setelah berberapa lama tidak juga didapati jawapannya. Melihat Rasulullah tidak memberikan sebarang jawapan, seorang lelaki yang kebetulan berada di situ tampil kehadapan untuk menyatakan hasratnya.

"Ya Rasulullah! kata lelaki itu. " Kalau tuan tidak memerlukannya, kahwinkanlah aku dengan perempuan itu!"

Rasulullah bertanya " adakah padamu sesuatu yang dapat dijadikan mas kahwin?"

Lelaki itu memang tiada apa-apa selain kain selendang yang dipakainya sahaja.

Rasulullah bersabda " Jika kain selendang itu kau serahkan kepadanya sudah tentu engkau duduk tidak berselendang. Kalau begitu, carilah yang lain."

Lelaki itu menjawab "Tiada apa pun sesuatu pada ku"

Lalu Rasulullah tetap menyuruh lelaki itu mencari sesuatu yang dapat dijadikan mahar. Lalu Rasulullah bersabda "Engkau carilah cincin besi sekalipun agar boleh engkau menjadikanya sebagai mahar"

Namun,mendengar kata-kata Rasulullah itu tadi, lelaki terbabit tetap tidak dapat mencari walaupun ianya semudah cincin besi. Lalu Rasulullah bersabda "Adakah engkau menghafaz sesuatu dari Al-Quran?"

Lelaki itu menjawab, "Ya, aku ada menghafaz berberapa surah...." Lalu lelaki itu pun memperdengarkan bacaannya kepada Rasulullah..

Akhirnya Rasulullah bersabda " Aku kahwinkan engkau dengan dia, dengan mas kahwin surah-surah yang ada pada mu."....

Sekian sahaja perkongsian Ilmu untuk kali ini...Selamat Beramal!!..

(Sumber :Himpunan Kisah² Teladan Siri 1)


P/s : Mahar adalah wajib dan mengikut kemampuan....


Beraya d rumah Fezal IV....

Posted by ariffudin On Sunday, September 12, 2010 0 comments


Ntah ape mimpi,raya kali ni berkumpul kat umah rakan yg aku kenal..makanan yg dsediakn mee goreng n kek swk..sedappp..

Insyaallah sok pagi2 aku akn blek ke kedah darul aman..dh raya ke 4 br blek kmpung..smpai la ke rabu

Rasanya blom tlambat nak ucap slamat hari raya kepada yg mgenali diri ini..ni update blog pon gne hp..insyaallah lepas raya nnti sy akn post entri tbaru..sama2 kte nantikan..

SALAM TULUS IKHLAS DARI CHE'GU ARIP SEKELUARGA..SELAMAT HARI RAYA!



Salah Tak Jika Kita Menghargai Orang?

Posted by ariffudin On Thursday, August 26, 2010 0 comments



Assalamualaikum w.b.t....
Lame tak jenguk blog ni....fuhhh..fuuhhh...berhabuk la...hehehe...

Dah masuk Hari ke 17...kebetulan Nuzul Al-Quran Qareemm....
Entri kali ni nk cerita mengenai ape yang kita dapat JIKA KITA MENGHARGAI ORANG LAIN!

Saja nak berkongsi cerita...

Ketika sedang menjalankan kursus team building disebuah sekolah..tiba² ada seorang pelajar bangun dan bertanyakan kepada aku...

"Cikgu..kenapa semasa LDK sebentar tadi kami beriya mengejar matlamat kami...nak dapatkan kemenagan..tetapi,apabila sahaja kami balik ke sekolah, lain pulak yang jadi...Pengawas, dengan pengawas nya..Pengawas Pusat sumber dengan pengawas pusat sumbernya..masing² tetap dengan cara masing²...mengapa jadi begitu?ape penyelesaian nya?" tanya seorang pelajar kepada aku....

Seluruh mata tertumpu ke arah aku...hmmm..aku ni bukan la pakar sangat..cuma aku hadir di situ nak berkongsi pengalaman ape yang aku ada...namun aku gagahi jua...

Saya tersenyum mendengar soalan tersebut sambil menayangkan muka keyakinan saya..saya cuba untuk menjadi trainer yang terbaik..namun..apekah jalan penyelesaian nya?

“Ok. Satu soalan yang bagus. Ada sesiapa ingin berkongsi pandangan tentang perkara ini?” soal aku kepada semua peserta yang hadir.

“Pada pendapat saya, dalam LDK tadi setiap orang mahukan kumpulannya menang. Tidak kisah siapa yang menyumbang kearah itu, mereka tetap akan mendapat kemenangan tersebut.” Seorang peserta memberikan pandangan.

“Ada pendapat yang lain lagi?”


“Mungkin saya boleh huraikan sedikit lagi pendapat kawan tadi. Dalam LDK, kita berkongsi matlamat yang sama. Jika kumpulan kita yang menang, maka reward akan dikongsikan bersama…” kata seorang lagi peserta.

“Tapi apabila masuk dalam konteks persekolahan, kita tidak nampak reward yang akan dikongsi bersama. Jika disiplin terkawal, maka pengawas sahaja yang akan mendapat pujian. Tetapi jika tidak kerana kami iaitu pelajar² biasa ni mengikut arahan, disiplin pon tak terkawal. Seolah-olah kami tak menyumbang apa².” ujarnya.




"Ya..tepat sekali..Penyelesaiannya ialah PENGHARGAAN"




Semua orang perlukan penghargaan..


Sebenarnya inilah yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin (leader). Ini bukan isu berkira atau tidak. Orang yang berusaha bersungguh-sungguh merupakan tulang belakang kepada sesebuah organisasi dan semestinya mereka harus diberi penghargaan.

Jika tidak, mereka tidak nampak apa sebabnya kerja tersebut perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Mungkin inilah yang menyebabkan sesuatu team-work gagal mencapai hasil yang diharapkan.



Kepimpinan Nabi Muhammad

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin. Dan kelak kamu akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang kamu pimpin.” –Nabi Muhammad SAW-

Kepimpinan dalam diri Nabi Muhammad telah dilatih sejak beliau kecil lagi. Sewaktu kecil, beliau menjadi pengembala kambing yang menguruskan ratusan kambing setiap hari. Kambing merupakan binatang yang banyak ragam. Salah kawalan mungkin menyebabkan kambing tersebut bertindak liar.

Beliau sangat tahu mana satu kambing yang sakit, mana satu kambing besar kepala dan mana satu kambing yang sedang berahi. Mengembala kambing merupakan salah satu alat bantu mengajar terbaik buat Nabi Muhammad.

Dari situ kepimpinan beliau dibentuk secara perlahan-lahan. Beliau mengenali para sahabat dengan begitu rapat. Beliau tahu mana sahabat yang boleh dilantik sebagai ketua atau pemimpin, mana sahabat yang boleh memimpin angkatan tentera, mana sahabat yang boleh menjadi perancang strategi dan mana sahabat yang boleh jadi motivator.

Nabi Muhammad juga memberi penghargaan kepada sahabat-sahabat beliau. Sama ada dalam bentuk pujian mahu pun benda.

Sebagai pemimpin, hargailah anak buah anda walau pun sebesar zarah sumbangannya..Tak rugi bukan?malah anda akan lebih mendapat keuntungan apabila anak buah anda bersama-sama anda untuk mengejar matlamat.



UNTUNG KAN??

::ALAMAK:: Terbalik la plak...nak buat macam mane ni????

Posted by ariffudin On Wednesday, August 4, 2010 0 comments


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain.

Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:

1. Amalan kenduri aruah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam???

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan $20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar $15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.


p/s : Ingat 5 sebelum 5......

Selingan Lagu

Ingat 5 sebelum 5 - Rabbani

Duhai Teman Dan Tuan-Puan
Mari Kita Berpesan-Pesanan
Baik Lelaki Juga Perempuan
Duduk Di Kampung Atau Di Pekan

Zaman Ini Zamam Kemajuan
Kebendaan Menjadi Ukuran
Hidup Saling Bersaingan
Jika Lalai Tinggal Sendirian

Nabi Junjungan Pernah Berpesan
Agar Hidup Ada Pegangan
Semak Selalu Jangan Lupakan
Agar Tak Susah Di Hari Kemudian

Kena Diingat Lima Perkara
Sebelum Tiba Lima Perkara
Aaaaaa…aaaaa…
Semoga Hidup Aman Bahagia

Waktu Lapang Buatlah Amalan
Sebelum Sibuk Pelbagai Urusan
Isilah Dengan Amal Kebajikan
Menuntut Ilmu Dan Baca Al-Quran

Waktu Senang Beringatlah
Sebelum Tiba Waktunya Susah
Jika Datang Ancaman Musibah
Mampu Bersedia Selesai Masalah

Bila Sihat Jagalah Badan
Sebelum Derita Sakit Tak Keruan
Kawallah Makan Untuk Kesihatan
Ringan Ibadah Nak Dikerjakan

Jika Kaya Bermurah Hati
Dapat Pahala Menolong Orang
Aaaaa…aaaa…
Jikalau Miskin Apa Pun Tak Ada

Waktu Kita Hidup Di Dunia
Sediakan Bekalan Sebelum Mati
Walaupun Susah Banyak Halangan
Tabah Dan Sabar Allah Kan Sayang

Ingat-Ingat Kita Semua
Jangan Mudah Sombong Diri
Insafilah Pesanan Ini
Untuk Kita Suluh Diri

Semoga Lembut Hati Kita
Untuk Taat Dan Berbakti
Dari Allah Kita Datang
Kepada Allah Kita Kembali

Berapa banyak anda dah labur?? [PANAS]

Posted by ariffudin On Monday, August 2, 2010 0 comments


Anda mungkin boleh bina sebuah rumah yang besar, tetapi akhirnya ia boleh repas(usang) juga. Anda mungkin boleh bina karier yang baik, tetapi lama-lama karier tersebut akan berakhir juga. Anda mungkin sihat hari ini, tetapi belum tentu esok-esok masih sihat lagi.

Ramai orang invest dalam perkara-perkara sebegini, tetapi yang pasti semuanya bersifat sementara. Jadi, apakah perkara yang kita boleh invest yang boleh tahan lama? Inilah yang akan saya bincangkan dalam entri kali ini.

Pernah berlaku satu kerugian besar dalam salah satu syarikat komputer terbesar, DELL. Kerugian tersebut berlaku kerana berlaku kesilapan seorang stafnya dalam membuat satu keputusan yang melibatkan risiko yang cukup tinggi. Dell terus memanggil pekerja tersebut ke biliknya.

Dengan perasaan takut untuk dibuang kerja, pekerja tersebut melangkah masuk ke bilik Dell. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Dell tidak membuang pekerja tersebut.

“Kenapa perlu saya pecat kamu sedangkan saya telah melaburkan berjuta wang untuk memberikan satu pengalaman kegagalan kepada seorang pekerja.”


Apa yang mereka dapat?

Syarikat-syarikat pembuatan di Jepun memberikan kursus-kursus percuma kepada pembekal komponen produk-produk yang mereka keluarkan bagi memastikan komponen yang dibekalkan menepati spesifikasi.

Mereka menginginkan kualiti yang terbaik diterima oleh pelanggan. Jika di bahagian production sahaja yang baik, tetapi di bahagian jualannya sangat mengecewakan orang mungkin syarikat tersebut yang akan mendapat nama buruk.

Pulangan yang anda dapat bergantung kepada apa yang anda invest

Dari konteks Islam

Islam pun turut mengajar tentang konsep pelaburan seperti ini. Apabila seorang muslim itu mati, salah satu perkara yang boleh memberikan pulangan iaitu pahala kepadanya adalah ilmu yang diajarkan dan diwarisi oleh orang lain.

Ilmu yang anda invest itulah yang akan memberi pulangan kepada anda nanti.

Hurmmm. Semakin banyak anak anda, maka itu adalah satu pelaburan besar untuk anda. Sama ada ia menjadi satu pelaburan yang baik(anak menjadi soleh/solehah) atau menjadi satu pelaburan yang buruk(anak banyak buat benda haram).

Samalah seperti dunia pelaburan lain. Anda sendiri yang perlu jaga pelaburan anda tersebut. Salah jaga atau main biarkan sahaja, buruk padahnya.

Teringat kata-kata seorang jutawan dalam sebuah bengkel keusahawanan yang disponsor olehnya.

“Bengkel ini bukan percuma. Saya tetap dapat sesuatu daripadanya. Tiada benda yang percuma di dunia ini. Semuanya berbayar.”


p/s Teringat daku kepada permainan XY Game..banyak kesannya...~peace~

Emak: Imannn!!.Balik.mane kau nak pegi?

Posted by ariffudin On Friday, July 30, 2010 0 comments



"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih"


Hmmm…lama juga tak update blog ni..nak cerita pasal ape ek?entri kali ni aku nak cerita mengenai iman…ape itu iman??


“Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa,” – petikan lirik lagu Iman Mutiara dendangan Raihan ini pernah menjadi tanda tanya dalam hati saya semasa mula-mula mendengarnya lebih sepuluh tahun yang lalu.


Setelah tahun-tahun berikutnya dilalui, baru saya benar-benar mengerti maksud lirik ini.
Tidak semestinya bapa seorang yang beriman, anaknya mesti beriman juga.


Anak ustaz, anak imam, anak orang alim tidak semestinya berakhlak mulia. Sedangkan anak perompak, tidak semestinya berhati jahat lagi hina.
Persekitaran memainkan peranan yang penting dalam membentuk akhlak dan keperibadian insan yang mulia. Justeru, wajarkah ibu bapa dijadikan pesalah No. 1 dalam keruntuhan moral remaja masa kini?


Di sekeliling, kerap kali saya bertemu dengan kanak-kanak sekolah rendah yang bukan main lancang mulutnya mencarut. Faktor?
1. Memang ibu bapa, abang dan kakaknya kuat mencarut.
2. Bergaul dengan rakan-rakan di sekolah yang kuat mencarut.
Ada di antara mereka ini yang ibu bapanya berusaha untuk tidak mengeluarkan kata-kata kesat hatta ‘bodoh’ sekali pun di hadapan mereka kerana tidak mahu mereka terpengaruh. Tetapi setelah pulang dari taska, tadika atau sekolah, sudah mula pandai sendiri mengucapkan kata-kata kesat.
Selain didikan longgar ibu bapa, persekitaran yang tidak sihat, media juga sering dikaitkan sebagai punca keruntuhan moral remaja masa kini.


Madonna, primadona kontroversi penganut Kabbalah mengharamkan anak-anaknya menonton televisyen kerana tidak mahu mereka terpengaruh dengan unsur negatif yang sering dipaparkan di layar kaca itu.


Rancangan yang memaparkan jenayah, katanya untuk memberikan kesedaran kepada penonton; sebaliknya dilihat seakan-akan mengajar penonton cara untuk melakukan jenayah.
Langkah-langkah pencuri profesional, merempit, mengambil dadah – ditunjukkan dengan jelas, sehingga boleh dicontohi. Letaklah tulisan ‘Do Not Try This At Home’ — konon — bukankah yang terlarang itu godaan? Kalau mereka try that at home, adakah penerbit rancangan itu peduli?
Justeru, bagaimanakah cara yang paling berkesan untuk menangani dan mengelakkan keruntuhan moral ini daripada terus berlaku?


Jawapannya mudah: Iman yang kukuh.


Pelaksanaannya?


Ingin saya bercerita. Semasa saya bersekolah, dalam subjek Agama Islam, saya diajar mengenai syahadah, Rukun Iman dan Rukun Islam.


[ Semasa sekolah rendah, saya sangka ustazah sebutkan 'dua kali masyahadah'. Rupanya 'dua kalimah syahadah']


Pada waktu itu, apa yang saya tahu, orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah akan jadi orang Islam.
Orang Islam mesti sembahyang 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji jika mampu.


Rukun Iman enam perkara, percaya kepada Allah, para malaikat, Nabi dan Rasul, empat kitab suci, hari akhirat serta qada’ dan qadar.


Semua ini dihafal, dihafal dan dihafal.
Berapa ramaikah anak-anak kita yang faham sebenar-benarnya apa itu iman, islam dan ihsan?
Saya ingin mencadangkan bahawa faktor ketidakfahaman inilah yang sebenarnya mengakibatkan keruntuhan moral di kalangan remaja.


Kenapa tidak faham? Kerana ibu bapanya tidak faham, silibus pelajarannya tidak memahamkan sebaiknya dan masyarakat sekeliling lebih gemar buat-buat tidak memahami.


Rukun Iman yang pertama ialah kepercayaan kepada Allah. Sama dengan Rukunegara pertama – Kepercayaan kepada Tuhan – juga sekadar hafalan.


Jika benar percaya kepada Allah, sudah tentu percaya dengan kekuasaanNya. Sudah tentu percaya dengan semua yang diciptakanNya. Sudah tentu percaya Dia melihat, walaupun kita tidak melihatNya.


Jika benar percaya kepada malaikat, sudah tentu percaya dengan apa yang dicatatkan oleh Raqib dan Atid setiap saat kerana mereka sentiasa berada di sisi. Sudah tentu percaya dengan Munkar dan Nakir yang bakal menyoal-siasat di kubur. Sudah tentu percaya dengan Jibrail yang menurunkan wahyu, apatah lagi Izrail yang sentiasa dalam mode: stand by untuk mencabut nyawa kita.


Jika benar percaya kepada Nabi dan Rasul, sudah tentu percaya bahawa sunnah Rasul itu yang terbaik. Kata-kata yang disampaikan oleh mereka adalah benar. Sudah tentu iktibar diambil daripada setiap kisah yang diceritakan mengenai kederhakaan kaum mereka beribu tahun yang lalu dan apa balasan yang sudah pun Allah beri kepada kaum itu.


Jika benar percaya kepada kitab suci yang diturunkan, sudah tentu percaya bahawa isi kandungannya adalah benar. Sudah tentu percaya bahawa setiap kisah di dalamnya benar-benar berlaku. Sudah tentu percaya proses penurunan wahyu itu melibatkan malaikat Jibrail dan Rasul. Sudah tentu percaya lantas berpegang teguh kepada hukum hakam yang sudah Allah tentukan di dalamnya.


Jika benar percaya kepada hari akhirat, sudah tentu percaya dengan tanda-tanda kiamat sudah dekat yang telah diperlihatkan. Sudah tentu percaya bahawa kita perlu kumpulkan bekal pahala sebanyak mungkin untuk berada dalam golongan selamat di sana. Sudah tentu percaya dengan syurga untuk orang baik dan neraka bagi yang jahat. Sudah tentu percaya dengan nikmat syurga dan azab neraka. Sudah tentu percaya dengan Israfil sang peniup sangkakala serta Ridhwan dan Malik, sang malaikat penjaga.


Jika benar percaya kepada qada dan qadar (takdir / ketentuan), maka sudah tentulah tidak pernah sekali pun menyesali perjalanan hidup yang pahit. Sudah tentu hati sentiasa redha yang yakin dengan segala apa yang diperolehi di dunia ini – baik atau buruk – punyai sebab dan hikmah. Sudah tentu tidak pernah sekali pun merungut-rungut dengan kesusahan yang menimpa. Sudah tentu tidak menjadikan ‘kesempitan hidup’ dan ‘rasa tidak bahagia’ sebagai alasan untuk mungkar.
Jika benar percaya kepada kesemua enam perkara yang disebutkan di atas, maka sudah tentu tidak sekelumit pun muncul rasa tergamak untuk melakukan kemungkaran.


Penerangan yang jelas kepada anak-anak ini mengenai apakah sebenarnya maksud Rukun Iman diperlukan. Baik daripada ibu bapa, guru mahupun masyarakat termasuk media, tanggungjawab ini wajib digalas bersama.


Sama ada berani atau tidak, tepuklah dada, tanyalah iman di hati kita sendiri.


Wallahu alam.