5 Sahaja!

Kisah yang menarik ini telah diceritakan oleh seorang pakcik kepada saya. Ia merupakan sebuah analogi terhadap apa yang kita lakukan hari-hari.

Di sebuah kawasan peranginan, tinggal sepasang suami isteri yang kaya. Rumah mereka besar merangkumi taman dan kebun. Dalam kebun tersebut pula terdapat kolam. Suami isteri tersebut tinggal bersama anak perempuannya yang baru berusia 4 tahun.

Pada suatu hari, orang gajinya berhenti kerja. Terus sahaja si suami mencari pengganti orang gaji pada hari tersebut juga.

Terjumpalah dia dengan seorang lelaki bernama Mustar(bukan nama sebenar)

“Tuan ingin bekerja sebagai orang gaji saya?” soal si suami.

“Ya, tapi kalau boleh saya ingin tahu terlebih dahulu kerja apa yang bakal saya buat nanti?” balas Mustar.

Tugas kamu hanya 5 sahaja

“Kerja kamu tidak banyak. Hanya lima perkara sahaja iaitu:

1) Jaga rumah

2) Jaga kebun

3) Basuh kereta

4) Bayar bil air, bil elektrik dan bil telefon

5) Jadi pemandu kereta saya

Sejak hari itu, Mustar bekerja dengan pasangan kaya itu. Semua kerjanya dilakukan dengan cermat dan baik sekali.

Pada suatu hari, pasangan suami isteri itu keluar bersiar-siar. Anak perempuan mereka yang masih tidur ketika itu ditinggalkan di rumah. Ketika itu, Mustar berada di kebun, membersihkan daun-daun kering yang berguguran.

Tidak berapa lama kemudian, anak perempuan lelaki tersebut terjaga dari tidurnya. Melihatkan ketiadaan orang tuanya di rumah, dia pun bermain dan bermain. Dari dalam rumah dia bermain, dia menuju ke halaman rumah pula.

Mustar hanya memerhatikan sahaja gelagat si anak perempuan tersebut.

Dari halaman rumah, si anak perempuan itu menuju pula ke kebun. Dan Mustar hanya memerhatikan sahaja sambil melakukan kerjanya.

Semakin lama semakin dekat si anak perempuan tersebut dengan kolam. Mustar masih lagi memerhatikan dari jauh tanpa memberi sebarang amaran.

“Ah, ini tidak termasuk dalam senarai kerja aku!” getus Mustar dalam hati. Mustar pun beredar dari situ dan pergi ke sudut kebun lain yang perlu dibersihkannya.

Tanpa disedari Mustar, anak perempuan si kaya tersebut terjatuh dalam kolam dan lemas.

Apabila pasangan suami isteri kaya itu pulang ke rumah, mereka terkejut melihat anak mereka hilang. Dicarinya di halaman rumah juga tiada. Si suami pun memanggil Mustar dan bertanya samada Mustar nampak anaknya atau tidak.

“Tadi saya nampak dia bermain di tepi kolam sana,” jawab Mustar.

Si suami bergegas ke kolam tersebut dan alangkah terkejutnya dia apabila melihat anak perempuan sudah kejang kaku di dalam kolam tersebut.

“Kamu nampak anak saya bermain di tepi kolam tadi?”

“Ya, nampak,” ringkas jawab Mustar.

“Kenapa kamu tidak larang anak saya daripada main di tepi kolam?” tanya si suami kepada Mustar dengan nada sedikit marah.

“Tuan, kerja saya hanya ada 5 sahaja iaitu:

1) Jaga rumah

2) Jaga kebun

3) Basuh kereta

4) Bayar bil air, bil elektrik dan bil telefon

5) Jadi pemandu kereta saya

Tidak pula tuan menyuruh saya menjaga anak tuan,” jawab Mustar.

Kesimpulan

Agak-agak saudara pembaca semua, bolehkah jawapan yang diberikan Mustar memuaskan hati orang kaya tersebut?

Kisah ini hanyalah analogi terhadap apa yang kita lakukan setiap detik, setiap saat, dan setiap hari. Rata-rata kita hanya melaksanakan 5 perkara yang disuruh Allah:

1) Mengucap dua kalimah syahadah

2) Menunaikan solat lima waktu

3) Membayar zakat

4) Berpuasa di bulan Ramadhan

5) Menunaikan haji

Sedangkan ada lagi perkara lain yang sangat perlu dibuat. Sebagai contoh menjaga kedua orang tua kita sampai ke akhir hayat. Patutkan kita membiarkan kedua-dua ibu bapa kita melarat semasa tua??..

Jika Tuhan kamu bertanya."Mengapa kamu mensia-siakan kedua-dua ibu bapa kamu semasa mereka hidup?"

Sanggupkah saudara menjawab, “Tugas saya hanya 5 sahaja Tuhan.”


Selingan lagu Nasyid - Rabbani


Uuuu...
Kenangi Ibu Bapa
Doakanlah Sejahtera
Kita Anak Harus Membela
Apabila Sudah Dewasa

Jangan Biarkan Mereka
Sia-Sia Di Hari Tua
Kecewa Hidup Dan Merana
Kerna Perbuatan Anak Derhaka

Bahgiakan Mereka
Hingga Ke Hujung Usia
Bila Sampai Waktu Ajalnya
Anak Soleh Sebagai Harta

Hai... Ibu Bapa
Kami Permata Anda
Tidak Jemu Berdoa
Agar Sejahtera Terpelihara

Di Dunia Bahagia
Akhirat Pun Begitu Jua
Inilah Harapan Kami Semua
Moga Allah Kabulkan Doa

2 comments:

Post a Comment