Kenapa engkau Tak MENANGIS???

Posted by ariffudin On Tuesday, July 13, 2010 0 comments


“Kenapa kamu tak menangis? Tak sayang mak bapak?” Soal seorang fasi kepada saya.
Ingatan kepada program-program lalu yang pernah saya sertai membuatkan saya semakin berhati-hati apabila disuruh memikirkan modul. Dan memang jika diminta untuk menguruskan sesi muhasabah, memang saya tolak.

Bukan apa, saya sendiri tidak pernah merasa apa-apa setiap kali menghadiri sesi muhasabah. Kadang-kadang modul yang digunakan buat saya rasa jemu, pelik, rasa tidak perlu, tidak penting dan sebagainya.

Dan pernah saya duduk sama berbincang untuk menguruskan satu program. Sewaktu perbincangan tersebut menghala kepada sesi muhabah, terjadi dialog yang memelikkan saya.
“Apa sebenarnya objektif diadakan sesi muhasabah ini?” Soal saya yang sebenarnya mahu menukar sahaja sesi itu kepada perkara lain.

“Supaya timbul kesedaran dalam diri mereka. Nanti balik rumah dapatlah ibu bapa dia merasa tangan dicium, dipeluk.” Balas seorang fasi.
Kemudian perbincangan diteruskan dan saya mendiamkan diri.
“Aku rasa kena tukar la modul yang ini. Macam tak sesuai. Apa kata kita buat ini, ini, ini dan itu, itu, itu.” Kata si fulan 1.
“Hurm. Tapi macam tak buat mereka rasa sedih saja. Aku tak menangis kalau kena modul macam ini.” Kata si fulan 2.

Inilah yang saya pelik. Perlukah buat modul dengan harapan supaya peserta program timbul rasa sedih dan menangis? Adakah kesedaran timbul dengan hanya ada kesedihan atau babak-babak menangis? Kerana inilah yang saya hadapi selama ini.
Tidak pernah saya dapat berfikir dengan tenang kalau dalam keadaan menangis. Jadi, kalau tidak dapat berfikir dengan tenang, bagaimana pula ingin menyelesaikan setiap apa masalah yang saya lakukan.

Bukankah muhasabah itu ertinya menilai setiap apa yang telah kita lakukan? Tidak kiralah kita menilai perkara yang baik atau perkara yang buruk yang kita lakukan. Tidak mungkin kita dapat menilai dengan baik dalam keadaan kita menangis teresak-esak. Takut-takut bercampur dengan emosi yang kacau-bilau.
Andailah kata, kita buat satu modul muhasabah itu tetapi peserta tidak menangis. Janganlah kata dia tiada perasaan sayang atau apa-apa. Mungkin dia lebih matang untuk muhasabah dalam keadaan tenang daripada anda yang muhasabah dalam keadaan menangis teresak-esak.

Menangis adalah proses menyesali akan perbuatan yang dilakukan. Muhasabah pula adalah proses supaya si dia menyedari dan menginsafi akan perbuatan yang dilakukan.

Muhasabah dengan cara perkongsian cerita.


Saya bukanlah anti kepada sesi muhasabah yang sayu pilu, Cuma saya pernah juga melalui sesi muhasabah dengan mencatit ape sahaja kesalahan kemudian dikenang semula kesalahan…lalu berfikir dengan baik bagaimana hendak mengatasi masalah yang saya telah lakukan….
Setakat ini hanya dua sesi muhasabah sayu pilu yang berjaya buat saya sedar dan berfikir kesilapan lalu. Satunya pernah saya ceritakan dalam entri ’Zero to Hero’ yang kami duduk dalam satu kumpulan kecil dan menceritakan sesuatu perkara yang tidak pernah diceritakan kepada orang lain.

Setiap seorang menceritakan masalah, kesilapan yang pernah dia buat dan bagaimana dia mengatasi, apa yang dia mahukan dan lain-lain lagi. Sementara yang lain duduk mendengar dan ada masanya mencelah memberi pandangan. Habis satu cerita, orang lain dalam kumpulan tersebut akan memberi pandangan, idea atau saranan yang baik kepadanya.
Sesi kedua pula yang saya hadiri sebagai fasilitator. Ada dua orang fasilitator di hadapan menceritakan tentang dirinya dengan ibu bapanya. Apa kesilapan yang pernah dilakukannya dan bagaimana ibu bapa dia sayangkannya. Walaupun ada kalanya dia dimarahi kerana perkara yang dia tidak rasa salah pun.

Kadang-kadang mendengar cerita orang lain lebih membuatkan kita sedar betapa berharganya hidup kita daripada modul kapal layar karam di tengah laut dan sebagainya.
Kalau kita melihat dan membaca buku-buku motivasi pun, kebanyakannya dipenuhi dengan cerita-cerita. Dan buku ‘La Tahdzan’ yang menjadi sebutan ramai juga penuh dengan cerita.

Perkara yang perlu diberi perhatian

Dialog di awal entri saya itu bukan direka-reka. Memang betul-betul dikatakan kepada saya. Kerana itu saya mohon kepada mana-mana fasilitator yang ingin membuat modul muhasabah ini supaya menjaga setiap kata-kata anda.
Kadang-kadang dengan hanya melihat orang menangis pun, emosi kita boleh terganggu. Mungkin itu yang menyebabkan fasilitator tersebut tersilap sebut, terlepas cakap dan sebagainya.

Pernah saya pergi ke rumah anak yatim untuk majlis berbuka puasa dan salah seorang anak yatim tersebut menceritakan sesuatu kepada saya. Ada ceritanya di post http://arifeliza.blogspot.com/2010/07/berfikir-sebelum-hendak-berkata.html
“Dulu pernah ada kumpulan pelajar universiti buat program di sini. Ada seorang kakak tu kononnya nak buat sesi muhasabah biar orang menangis. Tapi banyak benda yang dia terlepas cakap.”

“Terlepas cakap macam mana?” Soal saya.
“Ada ke dia kata ‘Apa kamu tak sayang ibu bapa kamu yang dah meninggal ke?’, ‘Mak bapak kamu dah mati, tetapi kamu tak sedar diri!’.”

Inilah yang ditakuti berlaku jika modul muhasabah itu tidak dirancang betul-betul. Ada perkara yang kita boleh kita sebut dan tidak boleh kita sebut. Ada perkara yang perlu berhati-hati untuk menyebutnya.

Walaupun program tersebut bukan untuk anak yatim, kemungkinan untuk ada salah seorang daripada peserta itu adalah anak yatim perlu difikirkan. Kalau pun memang tiada langsung, tetapi ada juga peserta yang memang telah melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh untuk ibu bapanya, cumanya dia tidak menangis.
Kalau betul-betul mahu buat sesi muhasabah sayu pilu, setiap perkataan perlu dijaga sebelum menyebutnya. Dan ingat kembali objektifnya adalah untuk memberi kesedaran bukannya supaya mereka yang mendengar itu akan menangis.

0 comments:

Post a Comment